All About Tell a Tale

simply the best!

Shout Out

Nantikan kemunculan Ilham dan Is tak lama je lagi... ♥ love you all! ♥

FH

Saturday, December 31, 2011

Cerpen: Auld Lang Syne



“Kau nak pergi?” Soal Ana sekali lagi. Dan seperti tadi aku hanya tersenyum. Aku renung kembali kad jemputan ke Majlis Reunion 98, majlis pertemuan semula yang diadakan oleh bekas rakan-rakan sekelas aku pada malam tahun baru nanti. Ini adalah majlis yang ketiga diadakan mereka sejak kami tamat belajar dahulu. Kali pertama diadakan 2 tahun selepas kami tamat tingkatan lima. Lima tahun selepas itu majlis pertemuan semula untuk kali kedua diadakan.
“Dah dua kali mereka buat kau tak pergi. Takkan kali ni kau nak mengelak lagi?”
“Bukan aku sengaja tak nak pergi. Kebetulan memang waktu tu aku ada hal lain kan?” Aku cuba membela diri. Tapi dalam pada itu aku akui kata Ana. Aku tidak pernah menghadiri satu pun majlis yang diadakan. Pada majlis yang pertama, aku berikan alasan aku sedang menduduki peperiksaan semester di university. Pada majlis yang kedua aku berikan alasan aku perlu menghadiri seminar di luar daerah.
“Alah, alasan-alasan tu semua tak kukuh. Kali pertama kononnya sebab nak exam. Tapi kalau nak ikutkan kau bukan ada paper pun masa hari tu. Kali kedua konon sebab bos hantar seminar. Tapi yang sebenarnya bukan bos yang hantar, kau sendiri yang volunteer nak pergi. Kalau kau tak pergi pun, bukannya syarikat kau tak boleh hantar peserta lain kan? Mengaku sajalah Cik Amalin yang kau tu cuba nak mengelakkan diri dari sesuatu!”
Aku mengetap bibir. Hendak membalas, aku sudah kehabisan kata. Lagipun jauh di sudut hati aku akui, apa yang dikatakan Ana Farhana, kembar tidak seiras aku itu adalah benar. Aku cipta semua alasan itu untuk mengelakkan diri.
“Sudahlah, Alin. Dah lebih 10 tahun. Rasanya dah sampai masa kau lupakan semua tu. Pergilah hadiri majlis tu kali ni. Mungkin kali ni kau akan temui penutup kepada segala-galanya. Lagipun aku dah tak larat nak jawab soalan kawan-kawan lain kalau mereka tanya kenapa kau tak datang kali ni.” Kata Ana sebelum berlalu meninggalkan aku sendirian.
Aku mengeluh panjang. Pandangan mata aku lirikkan ke arah almari kaca yang aku beli khas untuk menyimpan segala cenderamata dan hadiah-hadiah yang aku terima. Mataku menyorot kepada anak patung beruang bersaiz sederhana yang terletak di para paling atas. Ai atau cinta dalam bahasa Melayunya adalah nama yang diberikan oleh si dia yang menghadiahkan anak patung itu kepada aku hampir 10 tahun yang lalu. Perlahan aku bangun lalu aku mara ke almari kaca itu. Pintu almari ku buka lalu Ai ku capai dan ku peluk kuat. Perasaan halus itu hadir sekali lagi. Perasaan yang sama yang aku rasai setiap kali Ai berada di dalam dakapan. Dan seperti biasa, setiap kali perasaan halus itu hadir, mata ini akan bergenang. Cepat-cepat aku seka air mata yang mula mengalir membasahi pipi. Tuhan, sudah bertahun lamanya. Kenapa aku masih berperasaan begini?
***
Dua hari lagi majlis reunion itu akan berlangsung. Namun sehingga hari ini hati aku masih berbolak balik. Kalau aku pergi aku akan bertemu dengannya. Setelah hampir 13 tahun kami tidak bersua muka, bersediakah aku untuk menemuinya? Aku tahu dia akan hadir ke majlis itu. Ana sendiri mengesahkan perkara itu malam semalam. Aku ingin sekali menemuinya tetapi macam ada sesuatu yang menghalang aku. Kata Ana, mungkin aku perlu bertemu dengannya untuk mendapat penutup kepada segala-galanya. Tapi aku tidak yakin, aku mampu melakukannya. Bagaimana kalau aku tidak temui apa yang aku inginkan? Bagaimana kalau bertemu dengannya akan membuatkan aku mengharap kembali? Bagaimana kalau...
Jealous saya...”  Kata-kata Aiman menyentak lamunan aku. Aku menoleh ke arah dia yang sedang memandu.
Jealous kenapa?” Soal aku tidak faham.
Jealous dengan siapa sahaja yang ada dalam fikiran awak sekarang ni. Kalaulah saya bertuah macam tu...” Jawab Aiman dengan senyuman yang kecil di bibir.
Berderau darah aku mendengar jawapan Aiman. Macam tahu-tahu sahaja apa yang ada dalam fikiran aku pada waktu ini. Dan mendengar nada suara Aiman tadi, bunyinya macam orang sedang berjauh hati saja. Kecil hatikah dia?
“Mana ada saya fikirkan sesiapa. Saya penat je lah. Tadi bertungkus-lumus siapkan kerja. Esokkan dah cuti,” sangkalku bersungguh-sungguh. Aku memandang Aiman dengan ekor mataku. Lega sedikit hati bila mendengar dia ketawa. Sebolehnya aku tidak mahu lelaki ini terasa hati.
“Jadi awak boleh bercuti dengan gembiranyalah ya?”
Aku mengangguk. Berpura-pura tersenyum sedangkan dalam hati Tuhan sahaja yang tahu gelodak yang aku rasakan. Gembira? Ya, sepatutnya cuti hujung tahun ini adalah sesuatu yang menggembirakan namun sejak aku terima kad undangan majlis reunion itu, rasa gembira itu sedikit sebanyak berkurangan. Yang ada kini hanya rasa tidak ketentuan yang makin sarat dalam hati.
“Alin, malam tahun baru nanti awak jangan lupa majlis tu ya?” Ujar Aiman tiba-tiba.
Aku tergamam. Tuhan, majlis apa yang dimaksudkan Aiman ni? Takkan dia tahu tentang majlis reunion aku? Takkan Ana ada beritahu dia apa-apa?
“Eh, yang awak tiba-tiba pucat lesi ni kenapa?” Soal Aiman sambil memandang aku dengan wajah hairan. “Awak tak sihat ke?” Tanyanya lagi.
“Err...tak lah. Saya..saya..” Aku jadi gagap tiba-tiba. Tak tahu apa yang patut aku jawab.
Aiman memberhentikan kereta lalu menoleh memandang aku. “Awak ni, kenapa lain macam je saya tengok hari ni? Sekejap termenung, sekejap menggelabah. Awak ada masalah ke?” Soalnya lembut.
Aku memandang ke arah Aiman sebelum aku larikan pandanganku ke luar. Melihat kawasan sekitarku, aku sedar yang aku sudah sampai ke rumah. Aku pandang semula ke arah Aiman. Mulutku ringan sahaja mahu meluahkan segala-galanya pada Aiman. Tapi akalku menghalang. Akalku tahu, jika aku ceritakan tentang si dia yang sedang berada di dalam fikiranku, Aiman akan berkecil hati. Tentu sahaja pemuda ini akan kecewa. Saban tahun dia bersabar mendengar luahanku tentang si dia. Tentang Ai. Saban tahun juga dia puas menasihatiku agar melepaskan segalanya. Dia tidak pernah putus-putus mengalakkan aku untuk meneruskan kehidupan, lupakan kenangan yang pahit dan cipta kenangan baru. Dan ketika aku bersama Aiman, memang aku mampu lakukan semua itu. Cuma kali ini sejak kehadiran kad undangan itu, aku mula teringat kembali kenangan lama itu. Aku mula kembali menjadi Amalin yang dulu, yang sentiasa menunggu dan mengharap.
“Kalau awak ada masalah, beritahulah saya. Kan saya pernah cakap dulu, saya akan sentiasa ada di sini untuk awak?” Kata-kata Aiman benar-benar menyentuh hatiku. Dan kerana itulah aku membuat keputusan untuk tidak berterus-terang. Untuk kali ini, aku perlu menipu sahabat baikku ini demi menjaga hatinya yang tulus menyayangiku.
“Saya tak ada masalah. Macam saya cakap tadi, saya penat je. Awak jangan risau, eh? Anyway, thank you for picking me up today. Kalau tak ada awak tadi, jenuh agaknya saya menunggu bas.” Cepat aku tukar topik.
Aiman tenung wajah aku lama. Aku tahu dia tidak percaya kata-kataku. Kerana tidak mahu dia terus menerus menyoal aku, cepat-cepat aku keluar dari kereta. Sebelum pintu kereta aku tutup, aku ucapkan terima kasih sekali lagi kepadanya. Tanpa menunggu balasannya aku cepat-cepat membuka pintu pagar rumah. Belum sempat aku menoleh untuk melambai ke arahnya seperti selalu, aku terdengar bunyi deruman enjin kereta Aiman berlalu pergi. Aku pandang kereta Aiman yang sudah jauh meninggalkan rumahku. Hatiku mula tidak keruan. Marahkah dia?
***
Telefon bimbitku berbunyi. Aku pandang nombor telefon yang nampak asing di skrin. Tanpa berfikir lama, aku terus menjawab panggilan tersebut.
“Hello, Alin ke ni?” Suara garau seorang lelaki kedengaran di hujung talian.
Darah aku berderau. Suara itu macam pernah ku dengar satu ketika dahulu. Sepatuh hatiku kuat mengatakan aku kenal si empunya suara namun separuh lagi cuba menafikan sesuatu yang sudah terang kebenarannya.  “Ya, ni Alin. Siapa ni?” Soal ku perlahan.
“Ini aku, Izham.”
Aku terus terduduk. Apa yang hatiku katakan tadi sudah terbukti kebenarannya. Tiba-tiba sahaja hatiku menjadi tidak tenteram. Lama kami berdua mendiamkan diri. Aku menunggu dia untuk bersuara kerana sesungguhnya fikiran aku tiba-tiba menjadi kosong!
“Kau sihat, Alin?”
“Sihat, Alhamdulillah.” Jawabku.
“Err, kau tengah buat apa tadi?” Tanya Izham lagi.
“Baru lepas berkemas.” Jawabku ringkas. Kemudian keadaan kembali menjadi senyap. Seminit, dua minit, tiga minit. Tiba ke minit kelima, aku mula tidak betah. Aku mula rasa geram. Untuk apa dia menelefon kalau sekadar mahu mendiamkan diri? Dan aku, kenapa aku perlu berkelakuan begini? Aku tidak bersalah. Aku tidak berhutang apa-apa dengannya. Kenapa perlu aku takut dengan dia?
            “Kenapa kau telefon aku ni?” Soalku tegas. Entah dari mana datang keberanian itu, aku sendiri tidak tahu.
            “Err...aku...aku...” Izham tergagap-gagap mahu menjawab soalanku. Aku tersenyum sinis. Izham tergagap? Lelaki yang satu ketika dulu sentiasa yakin dengan dirinya tiba-tiba menjadi gagap bila bercakap dengan aku? Benarlah kata orang, masa boleh mengubah seseorang.
            “Kalau tak ada apa-apa, aku letak telefon dulu. Aku ada kerja lain nak buat.” Ugutku.
“Alin, tunggu! Aku rindu kau.”
Aku terkedu. Tidak menduga sama sekali itu yang akan terkeluar dari mulut Izham. Aku menjadi kelu tiba-tiba.
“Aku rindu kau, Alin. Aku betul-betul rindukan kau. Aku nak jumpa kau. Kau akan datangkan, majlis reunion kita nanti?”
            Aku biarkan soalan Izham tanpa jawapan. Bukan aku sengaja tidak mahu menjawab tapi hakikatnya aku sendiri tidak tahu apa jawapan yang patut aku berikan. Aku keliru. Aku buntu!
            “Aku tahu, mungkin kau terkejut dan mungkin juga kau tak percaya apa yang aku cakapkan ni. Sebab tu, aku rasa kita perlu berjumpa. Aku nak terangkan segala-galanya tentang apa yang terjadi selama ni. Aku nak minta maaf. Kemudian aku nak kita mulakan sekali lagi. Please, Alin. Say you’ll come?” Rayu Izham. Aku terus mendiamkan diri. Aku tidak punya hati untuk memberikan apa-apa jawapan. Selama ini, memang aku menunggu saat seperti ini. Tapi bila saat ini tiba, kenapa hatiku seakan kosong?
            “Alin, please say something?” Sekali lagi Izham merayu. “Tolong cakap kau akan datang? Cakap yang kau akan maafkan aku?” Tambahnya lagi.
            Aku tarik nafas dalam-dalam. “Izham, aku...” Belum sempat aku meneruskan kata-kataku, Izham pantas mencelah.
            “Aku akan tunggu kau! Aku tunggu kau di majlis itu nanti. Aku yakin kau akan datang. Aku akan tunggu kau , Alin.” Izham terus matikan panggilan. Aku hanya mampu memandang sepi telefon bimbit di tangan.
***
            Kurang enam jam lagi majlis reunion aku akan berlansung. Tapi sehingga kini aku masih belum lagi putuskan mahu menghadirinya atau tidak. Aku ralit memandang Ana yang leka menggosok blouse putih yang akan dipakainya malam nanti. Tema reunion kali ini, putih dan denim. Sedang aku asyik melihat Ana, satu pesanan ringkas masuk ke dalam telefon bimbitku. Aku lihat nama pengirim SMS. Aiman. Inilah kali pertama dia menghubungiku sejak dia menghantar ku pulang dua hari lepas. Aku pantas membaca pesanan yang dikirimkan.
            Nak jumpa. Saya di luar.
            Aku menjenguk dari tingkap bilik. Kelibat Aiman yang sedang bersandar di pintu kereta kelihatan. Aku terus keluar mendapatkan dirinya.
            “Kenapa awak?” Terus aku bertanya sebaik sahaja kami bertemu muka.
            Wajah Aiman nampak tegang. Hatiku tiba-tiba berdebar. Selama kami bersahabat, jarang sekali aku melihat dia setegang ini. Kalau ada pun, bukan aku menjadi punca dia jadi begitu. Selalunya dia hanya akan berkeadaan begini jika dia tertekan dengan urusan kerjanya.
               Tiba-tiba dia mengeluarkan sesuatu dari kocek jaket yang dipakainya. Sebuah sampul berwarna biru. Debaran hatiku semakin kuat. Aku tahu isi kandungan sampul itu. Itu sampul kad undangan majlis reunion aku malam nanti. Baru aku teringat, kelmarin ketika aku menumpang kereta Aiman, aku selitkan kad itu ke dalam fail dan fail itu aku letakkan di tempat duduk belakang kereta. Dan dalam kekalutan aku mahu melarikan diri dari soalan-soalan Aiman, aku terlupa untuk mengambil file itu.
            Aiman serahkan kad di tangannya kepada aku. Lambat-lambat aku sambut hulurannya. Keadaan menjadi  janggal antara kami. Lama kami membisu. Aiman hanya terus terusan memandang aku. Aku cuba memberanikan diri membalas renungannya namun selepas beberapa ketika aku tidak sanggup berbalas pandangan dengannya. Aku tiba-tiba menjadi segan dengannya lebih-lebih lagi bila jantungku mula bertukar rentak.
            “Ini ke sebabnya perangai awak lain macam je hari tu?” Soal Aiman selepas beberapa ketika. Aku sekadar mengangguk. Tidak guna lagi mahu berdolak dalih kerana buktinya sudah ada di depan mata.
            “Awak akan pergi?”
            “Saya tak tahu lagi.” Jawabku jujur.
            Aiman mendengus kasar. Aku lihat dia mengenggam kuat tangannya seolah-olah dia sedang menahan diri dari melakukan sesuatu. Kecut perut aku tiba-tiba.
            “Saya tak nak awak pergi!”
            Aku terpempan. Nada suara Aiman yang seperti memberi arahan itu benar-benar memeranjatkan aku. Belum pernah dia buat perangai macam ini. Kenapa tiba-tiba hari ni dia berkelakuan begini?
“Apasal pula? Kenapa awak nak halang-halang saya pulak?” Geram pula aku dibuatnya! Dahlah kepala aku kusut dengan permintaan Izham, sekarang Aiman pula nak cari fasal.
“Awak dah lupa ke awak dah janji nak temankan saya pergi hadiri majlis makan malam sempena tahun baru syarikat saya?”
Aku menggigit bibir. Aduh, macam mana aku boleh terlupa tentang hal ni? Rupanya inilah majlis yang Aiman sebutkan kelmarin. Aku betul-betul terlupa!
“Tak penting sangatkah saya dalam hidup awak sampai awak boleh lupa janji awak dengan saya?” Soal Aiman perlahan. Suaranya sudah tidak setegang tadi. Nadanya tidak ubah seperti orang yang sudah berjauh hati.
“Aiman, janganlah cakap macam tu. Ya, saya mengaku saya terlupa tentang majlis awak tu. Tapi bukan sebab saya tak pentingkan awak. Cuma banyak sangat perkara yang saya fikirkan kebelakangan ni. Maafkan saya, awak.” Aku cuba memberikan penjelasan. Tapi Aiman seperti tidak dapat menerima alasan aku itu.
“Awak masih teringatkan dia?” Soalan Aiman kali ini benar-benar buat aku tak keruan. Tetapi tanpa perlu aku menjawab, aku kira Aiman sudah tahu jawapannya. Dia bijak membaca bahasa tubuhku. Melihat aku yang tidak tentu arah sudah cukup menjawab soalannya.
Aiman menarik nafas dalam-dalam sebelum dia kembali merenung diriku. Kedua belah bahuku dipegang erat. Dia memandang tepat ke dalam mataku. Bagaikan dipukau, aku tidak mampu mengalihkan pandanganku ke arah lain. Kami saling berbalas pandangan.
“Dengar sini Alin. Kali ini saya tak akan berkias-kias lagi. Saya, Aiman Shanizal, cintakan awak, Nurul Amalin. Selama ini saya bertahan untuk jadi sahabat awak sebab saya nak beri awak peluang untuk mengenali saya. Untuk beri awak ruang terima saya. Saya tahu, awak pernah terluka sebab itu saya tak nak memaksa. Saya jadi pendengar awak yang setia. Saya terpaksa tahan pedih setiap kali awak ceritakan tentang kisah awak dengan dia. Awak tahu tak saya rasa nak buang sahaja Ai bila awak selalu cakap awak peluk Ai untuk lepaskan rindu awak pada Izham. Awak tak tahu betapa sakitnya hati saya bila lihat awak menangis setiap kali awak teringatkan Izham. Saya rasa nak cari saja lelaki tu dan belasah dia cukup-cukup sebab buat awak menangis.
Setiap kali awak cakap awak menanti jawapan dari Izham, hati saya ni macam dihiris-hiris. Bila awak cakap awak masih menanti dia, jantung saya rasa macam nak tercabut. Tapi saya tetap nak berada di sisi awak walaupun ramai yang cakap saya bodoh. Sebab apa? Sebab saya cintakan awak. Dulu, kini dan selamanya. Dan saya tahu, awak juga rasa apa yang saya rasa walaupun awak tak sedarinya lagi. Perbuatan awak, sikap awak yang selalu nak menjaga hati saya. Itu semua bukti awak juga sayangkan saya cuma awak masih lagi dihantui kenangan silam awak. Awak terperangkap dalam kenangan lama awak sampai awak tak nampak ada pintu lain yang boleh bawa awak keluar dari kenangan tu.” Ujar Aiman. Tiba-tiba dia keluarkan sesuatu dari poket jaketnya.
Mataku membesar melihat kotak empat segi kecil berwarna merah yang dipegang Aiman. Jantungku berdegup kencang. Lebih kencang daripada semalam ketika aku menerima panggilan daripada Izam. Perlahan Aiman buka kotak itu. Nafasku tersekat bila melihat sebentuk cincin bertahtah berlian yang elok terletak di dalam kotak kain baldu itu.
“Saya beli cincin ni bulan lepas. Saya nekad, tahun baru ni saya akan melamar awak. Saya nak cipta kenangan baru dengan awak. Keputusan sekarang terletak di tangan awak.” Aiman mengambil tangan kananku lalu diletakkan kotak cincin itu di atas tapak tanganku. “Malam ni, saya tunggu awak di majlis tu. Kalau awak pakai cincin ni, saya anggap awak terima lamaran saya. Tapi kalau awak pilih untuk ke sana, saya akan pergi dari hidup awak. Ini akan jadi kali terakhir kita berjumpa.” Tambah Aiman lagi sebelum dia masuk ke dalam keretanya. Sebelum dia berlalu sempat dia menghadiahkan aku sebuah senyuman. Senyuman yang sentiasa buat hari-hariku ceria. Bila mengingatkan kata-kata terakhirnya tadi aku tiba-tiba menjadi takut. Tuhan, adakah itu senyuman terakhir yang akan ku lihat dari Aiman?
***
Aku pandang ke kiri kanan jalan yang tidak banyak kenderaan. Mataku melirik ke arah jam di dashboard kereta. Sudah 11.30 malam. Majlis reunion aku sudah 2 jam lebih berlangsung. Setengah jam lagi, acara kemuncak majlis itu iaitu acara sambutan tahun baru 2012 akan bermula. Pada masa yang sama acara yang sama akan disambut di majlis makan malam syarikat Aiman. Namun sehingga kini aku masih lagi tidak tahu jalan mana yang harus ku pilih. Jalan kanan akan membawaku ke majlis reunionku. Jalan kiri akan membawaku ke majlis Aiman.
Jika aku memilih jalan kanan, aku akan dapat Izham. Aku akan dapat jawapan kepada semua persoalanku. Dan mungkin juga aku akan memulakannya sekali lagi dengan Izham. Tapi jika aku pilih jalan ini, bermakna aku terus berada dalam dunia lamaku. Siapa yang berani jamin, Izham tidak akan melakukan sekali lagi apa yang pernah dia lakukan dulu? Tapi bukankah dia sudah minta maaf. Dia minta peluang kedua untuk mulakan segalanya sekali lagi. Bermakna dia sudah berubah bukan? Aku patut berikan peluang itu kepadanya. Kami patut mulakan semula cinta kami. Bukankah ini yang aku tunggu selama ini?
Jika aku memilih jalan kiri, aku akan dapat Aiman. Teman yang sentiasa berada di samping aku walaupun aku sering melukakan hatinya tanpa sedar. Jika aku pilih jalan ini, aku akan berada di dunia baru. Aku akan mencipta kenangan baru bersama Aiman. Tapi siapa yang berani jamin, aku dan Aiman akan bahagia selamanya? Siapa yang berani jamin Aiman tidak akan berkelakuan seperti Izham? Astafirullahalazim, Alin. Apa yang kau cakapkan ni? Kenapa kau tergamak samakan Aiman dengan Izham? Aku beristifar panjang. Aku pejamkan mataku rapat-rapat. Bayang lelaki yang berada di hatiku tiba-tiba melintas di depan mata. Aku buka mataku perlahan. Kemudian aku ketawa sendiri.
Nurul Amalin, kau memang bodoh. Kau dah ada jawapannya selama ini. Cuma kau terlalu takut untuk melihatnya. Aku marah diriku sendiri. Aku tarik nafas panjang-panjang. Aku pandang pakaian yang tersarung di badanku. Sepasang jeans biru dipadankan dengan sehelai blouse putih. Kemudian aku pandang Ai yang berada di tempat duduk penumpang di sisiku. Aku tersenyum puas. Ya, aku sudah ada jawapannya.
***
11.50 malam. Sepuluh minit lagi tahun baru akan bermula. 2011 akan menjadi kenangan. 2012 bakal melakar kisah baru. Aku pandang sekumpulan manusia yang sudah berkumpul di dataran di hadapan restoren mewah tempat majlis itu diadakan. Sebelum aku melangkah ke depan, aku titipkan sebuah pesanan ringkas buat seseorang. Aku simpan telefon bimbitku ke dalam poket seluar jeans ku selepas notifikasi pesanan itu sudah dihantar tertera di skrin. Aku capai Ai yang aku letak di atas bonet kereta. Dengan langkah penuh yakin aku mara ke hadapan.
Aku nampak Ana melambaiku namun air mukanya nampak sedih. Mungkin dia kesal dengan pilihanku. Aku hanya tersenyum ke arahnya. Mataku mencari-cari insan yang paling aku ingin temui. Di celah-celah bekas rakan sekelasku yang lain, aku nampak dirinya. Aku tersilap. Dia masih belum berubah. Masih kacak macam dulu. Dari gaya dia berdiri, aku yakin dia masih lagi lelaki yang penuh dengan keyakinan seperti dulu. Bagai mengetahui dirinya menjadi perhatian, dia menoleh. Saat matanya bersatu dengan pandanganku, bibirnya menguntum senyum. Aku balas senyuman yang pernah menghiasi mimpi indahku satu ketika dahulu.
“Kau datang,” ucapnya sebaik sahaja aku berada di hadapannya. Matanya memandang Ai yang ku peluk erat sejak tadi. “Dan kau bawa Ai bersama,” tambahnya lagi teruja. Aku sekadar mengangguk.
“Alin, banyak yang aku nak cakapkan pada kau. Aku nak minta maaf, aku nak terangkan hal sebenarnya. Aku cin...”
“Stop! Jangan teruskan.” Pantas aku hentikan bicara Izham. Aku tersenyum kecil melihat wajahnya yang nampak terpinga-pinga dengan tindakanku.

“Aku datang sebab aku nak kembalikan ini,” beritahuku sambil menghulurkan Ai kepada Izham. Lambat-lambat Izham sambut Ai. Sebaik sahaja Ai bertukar tangan, bahuku tiba-tiba menjadi ringan. Seakan ada satu beban besar telah kulepaskan. Izham nampak seperti ingin mengatakan sesuatu namun cepat aku mengeleng tanda enggan mendengar kata-katanya. Ini adalah masa aku. Bukan lagi untuknya.
“Kau tak perlu terangkan apa-apa lagi Izham. Aku tak nak tahu dan tak ingin tahu kenapa kau buat apa yang kau buat selama ini. Kau kata kau sayangkan aku. Kau cintakan aku. Kau berikan Ai tanda sayang kau pada aku. Tapi selepas tu kau terus hilang. Kau biarkan aku dalam cinta ini seorang diri. Aku menunggu dan terus menunggu kehadiran kau. Perlukah aku terus cintakan kau sedangkan kau pergi macam itu sahaja? Aku ternanti-nanti apa sudahnya kisah kita ini. Aku tunggu jawapan dari kau. Dari hari bertukar minggu. Minggu bertukar bulan dan bulan terus bertukar tahun. Tanpa aku sedar, aku bazirkan hampir sepuluh tahun dari hidup aku menunggu kau. Hingga mata dan hati aku jadi buta pada perkara lain.
Mujur sepanjang masa ini ada lagi insan yang sudi berada di samping aku. Dialah yang buka mata aku untuk melihat keadaan sebenarnya. Dialah penyebab kenapa aku datang ke sini malam ini untuk akhiri segala-galanya. Aku sedar sekarang Izham. Aku bukan terperangkap dalam dunia cinta kau. Tapi aku sendiri kurung diri aku dalam dunia itu. Aku takut untuk keluar sebab aku takut kecewa. Jadi aku biarkan diri aku terus berada dalam dunia itu dengan harapan kau akan kembali. Tap kau terus biarkan aku keseorang dalam dunia tu. Dan kini selepas aku temui pintu untuk keluar dari dunia tu, kau kembali untuk bawa aku masuk ke dalam semula.
Sayangnya, rasa kasih untuk aku berada dalam dunia itu dah hilang. Sepuluh tahun kau biarkan aku dan perasaan itu akhirnya mati sendiri Izham. Malam ini, aku akan keluar dunia itu. Aku tinggalkan kenangan kita. Aku mahu cipta dunia baru, kenangan baru dengan orang yang mencintai aku setulus hatinya. Aku tak perlukan lagi penjelasan dari kau. Biarlah semua tu berlalu dan kekal di masa lalu. Hari ini, aku nak melangkah ke hadapan. Aku tak mahu toleh ke belakang lagi,” luahku panjang lebar. Aku pandang wajah Izham. Aku pandang Ai. Aku menghela nafas lega. Akhirnya beban yang aku galas selama ini sudah berjaya aku lepaskan. Aku berpaling meninggalkan Izham. Baru beberapa langkah, Izham menyeru namaku.
“Kalau kau nak menolak, untuk apa kau datang malam ni, Alin? Kau nak balas dendamkah?”
Aku ketawa perlahan sambil menoleh ke arahnya. “I come for old time sake. Lagipun aku tahu betapa peritnya perasaan bila kita menunggu jawapan seseorang itu tapi jawapan tu tak kunjung tiba, Izham. Aku dah pernah rasainya.” Jawabku bersahaja seraya melangkah meninggalkan Izham dan kenangan lamaku.
“Aku nampak Ai dengan Izham. You’re ready to move forward, sis?” Tanya Ana yang tiba-tiba muncul di depanku.
Yes, my sis,” jawabku. Kemudian aku tunjukkan sesuatu kepada Ana. Dia menjerit kegirangan. Terus aku dipeluknya kuat. Serentak dengan itu aku terasa gegaran dari telefon bimbitku. Pelukan Ana aku leraikan. Dengan pantas aku capai telefon bimbitku. Sebuah pesanan multimedia  bergambar daripada Aiman masuk ke peti mel ku. Pantas jariku menekan ikon ‘buka’ di skrin. Aku tersenyum gembira melihat gambar yang kukirimkan kepadanya sebentar  tadi dikirimkan kembali kepadaku bersama sepotong ayat yang buat hatiku berbunga-bunga.
Cincin tu nampak manis di jari awak. I heart u too! J
Langit yang gelap tadi kini terang benderang bermandi dengan percikan bunga api yang berwarni-warni tanda tahun 2012 sudah bermula. Aku pandang cahaya dari bunga apa yang pelbagai warna itu dengan hati yang senang. Selamat tinggal Izham. Selamat tinggal kenangan lama. Selamat tinggal 2011. Selamat datang  2012, tahun baru untuk aku dan Aiman melakar kenangan baru. 


~Tamat ~



Terima Kasih ~ 2011 ~


Tahun 2011, salah satu cita-cita aku menjadi kenyataan. Impian untuk melihat nama aku di kulit buku tercapai bila novel pertama aku, The Untold Story berjaya diterbitkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya aku bila cita-cita yang satu itu menjadi kenyataan (Terima kasih One Nusantara). Selepas TUS, lahir pula Tentang Cinta. Walaupun ia bukan novel penuh, hanya sebuah antologi cerpen tetapi naskah yang satu ini juga sangat bermakna dalam hidup aku. Kerana ia dihasilkan bersama teman-teman seperjuangan di dalam bidang penulisan ini (Terima kasih Aurora Creative Enterprise). Di jam-jam terakhir tahun 2011 ini aku ingin mengucapkan ribuan TERIMA KASIH kepada teman-teman yang sudi menjadikan karya-karya aku sebagai koleksi kalian. Terima kasih kerana sudi menyediakan satu tempat untuk penulis kecil ini di rak-rak buku kalian. Hanya Tuhan yang mampu membalas keikhlasan teman-teman semua. Aku mohon maaf jika karya-karya kecil itu ada kekurangannya. Insya-Allah, aku akan cuba memperbaiki kelemahan aku untuk novel-novel yang akan datang. Sekali lagi, terima kasih tidak terhingga untuk teman-teman semua. *huhuh...sebak pulak hati ni!*

Monday, November 14, 2011

PERADUAN MENULIS CERPEN PARANORMAL

PENGUMUMAN - Sukacita saya ingin maklumkan satu Peraduan Menulis Cerpen Paranormal akan di adakan di Grup Komuniti E-Novel.

Maklumat peraduan seperti di bawah:-

Tempoh Peraduan: 15 November 2011 -15 Disember 2011

Syarat peraduan:

1) Panjang cerpen hanya maksima 10 ms WORDS Double spacing

2) Disiarkan di blog masing-masing dengan SLOGAN

'Saya mahu novel ERTI CINTA - Camelia' yang ada LINK ke grup KEN.

3) Cerpen akan diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada admin KEN.

4) Cerpen hendaklah ditulis dalam bahasa yang baik.

5) Cerpen juga hendaklah ditulis dengan berhati-hati tanpa memesongkan akidah pembaca.

6) Keputusan juri adalah muktamad.

7) Hadiah :

Tempat PERTAMA: Sebuah novel ERTI CINTA dan wang tunai RM 50/voucher buku/top up

Tempat KEDUA : Sebuah novel ERTI CINTA dan sebuah buku TULIS NOVEL cetakan terbaru

Tempat KETIGA : sebuah novel ERTI CINTA dan sebuah buku antologi TENTANG CINTA

* Hadiah akan dinaikkan jika penaja bertambah.

8) Semua cerpen mestilah di post di KEN untuk bacaan semua ahli.

Jika ada sebarang soalan, sila nyatakan. Terima kasih dan selamat berkarya. ^_^


Friday, October 21, 2011

Cerpen: P/S: Suka Awak Juga (Antologi Cerpen Tentang Cinta)



P/S: Suka Awak Juga…

Aberdeen, Scotland...

“B
RRR...” Eyma menggigil kesejukan. Snow cap di kepala dicabut lalu dikibas-kibas salji yang memutih di atas topi. Rambutnya yang terlerai ikatannya dibetulkan. Matanya kemudian melilau mencari wajah orang yang sepatutnya ditemui. Dia pandang satu per satu mereka yang berada di dalam kafe itu. Yang duduk di hujung sebelah kanan, terlalu putih kulitnya macam salji di luar. Yang duduk di hujung sebelah kiri terlalu gelap kulitnya macam arang terbakar. Yang duduk berhampiran dengan tempat dia berdiri campuran  putih dan hitam. Semuanya tidak sama kulit   dengannya. Eyma mengeluh berat. Memang sah orang yang dicari tidak sampai lagi.
Dia menarik muffler scarf daripada lehernya. Baju sejuk paras lutut warna hitam yang tersarung pada badan ditanggalkan lalu disangkut ke lengan. Dia berjalan menuju ke sebuah meja yang tidak berpenghuni. Tidak sampai seminit punggungnya mencecah kerusi, seorang lelaki separuh umur lengkap memakai apron menghampirinya.
What can I get for you, love?” tanya lelaki itu dengan loghat Scottishnya yang menebal. Nasib   baiklah dia pernah belajar di Edinburgh dua tahun yang lalu. Sedikit sebanyak dia dapat memahami  loghat lelaki Scotland di depannya.
Black coffee please,” balas Eyma seraya tersenyum.
Anything else, love?”
Eyma menggeleng sopan. Tiba-tiba dia terdengar loceng yang tergantung di pintu masuk berbunyi. Dia segera berpusing untuk melihat siapa yang melangkah masuk. Dalam hati berdoa agar wajah adiknya, Dino yang muncul. Eyma mengeluh hampa apabila melihat seorang lelaki tempatan yang melangkah masuk. Dia mengerling ke arah jam di tangannya. Sudah hampir pukul 12.55 tengah hari. Janji temunya bersama adiknya sepatutnya pukul 12.45 tadi. Sekarang sudah hampir 10 minit berlalu namun bayang adiknya tidak juga kelihatan.
Eyma mencapai begnya lalu dikeluarkan  telefon bimbitnya. Nombor telefon Dino didail pantas. “Dino, kau dekat mana ni? Angah dah sampai kafelah!”
“Kut ya pun, bagilah salam dulu, angah. Ini main sergah saja.”
Eyma berdesit. “Jangan nak loyar buruk dengan angah ya. Kau janji macam mana ni? Kau tahu kan, angah tak suka kerja tunggu-menunggu ni!”
Di hujung talian, Dino ketawa mengekek. “Maaf, angahku sayang. Dino terkandas di  perpustakaan ni. Salji tengah lebat, tak boleh nak keluar.”
“Ada sajalah alasan kau. Lain kali kalau dah   tahu berjanji, keluar awal-awal. Sekarang apa yang angah nak buat dekat kafe ini seorang diri? Salji lebat di luar itu. Entah pukul berapa redanya. Kalau angah tahu macam ni, baik angah duduk di bilik saja!”
“Alah, duduk sajalah di kafe tu. Ambil mood. Perhatikan orang dan suasana di situ. Mana tahu, angah dapat ilham nak buat buku baru angah. Dino janji, Dino akan cuba sampai di sana secepat mungkin. Kalau salji tak reda juga, Dino redah saja. Demi angah tersayang. Okey, angah? Bye…” Pantas adiknya  mematikan talian tanpa sempat Eyma bercakap.
Eyma terus merungut seorang diri. “Banyaklah kau punya ilham. Keadaan sejuk kejung macam ni, jangan katakan ilham, idea pun tak ingin nak muncul!”
Tiba-tiba secawan kopi panas diletakkan di atas meja di depannya. “Secawan kopi untuk cik adik.”
Tanpa mengangkat kepala, selamba Eyma menjawab, “Terima kasih.” Tiba-tiba dia berasa pelik. Mukanya berkerut-kerut mendengarkan bahasa  Melayu dituturkan di dalam kafe milik bangsa asing itu. Erk? Kejap, aku sekarang dekat Aberdeen ke,  dekat Malaysia ni? Dia terus mendongak memandang orang yang berdiri di sebelahnya. Matanya membulat merenung wajah lelaki yang sedang tersenyum manis ke arahnya. Jantungnya berdebar kencang. Wajah  putih bersih itu menawan kalbunya. Senyuman daripada bibir merah yang mengoda itu memaut hatinya. Namun sekelip mata sahaja darahnya tiba-tiba berderau. Oh, tidak! Mimpi negeri aku. “Ammar Izwan?”


AMMAR IZWAN. Sudah hampir tujuh tahun nama itu tidak meniti di bibirnya. Kali terakhir mereka bertemu ialah pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar  Cemerlang di sekolah menengah mereka. Waktu itu, Eyma masih lagi di tingkatan empat manakala  Ammar pula sudah menamatkan zaman per-sekolahannya di SMKIH. Saat kenangan pada majlis malam itu muncul dalam benaknya, wajah Eyma tiba-tiba terasa panas. Dia menekup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangannya yang sejuk.
“Arghhh, malunya!” jerit Eyma kuat sambil menghempaskan badannya ke atas katil.
“Kenapalah aku kena jumpa dia dekat sini?”   tanyanya seorang diri. Tangannya diangkat daripada muka. Matanya terkebil-kebil memandang siling bilik yang berwarna hijau lembut. “Agaknya dia ingat lagi ke pada aku? Mungkin tak ingat kut. Dah tujuh tahun tak jumpa. Lagipun aku bukan macam dulu lagi. Tak mungkin dia ingatlah!” ujarnya seorang diri.
“Tapi kalau tengok daripada gaya dia tadi,    macam dia ingat aje dengan aku. Kalau dia ingat,   habislah aku! Arghhh… tidak!” teriaknya sekali lagi. Dia bingkas bangun daripada katil dan mula berjalan mundar-mandir di dalam bilik. Eyma mula tidak senang hati. Bilik yang dingin itu terasa panas tiba-tiba. Sedang dia asyik berjalan ke hulu ke hilir, pintu biliknya diketuk dari luar. Eyma bergerak ke arah  pintu lalu melihat siapa di luar melalui peep hole di pintu. Melihat wajah adiknya di depan pintu, dia segera membuka daun pintu.
“Angah, kenapa angah lari tinggalkan kafe tu?” tanya Dino sebaik-baik sahaja kakinya melangkah  masuk ke dalam.
Eyma tidak mengendahkan pertanyaan Dino. Dia kembali menjalankan aktiviti mundar-mandirnya tadi.
“Angah, kan Dino tanya ni, kenapa angah lari tinggalkan kafe tu tiba-tiba?” soal Dino sekali lagi. “Angah tahu tak, angah tak bayar duit kopi tadi? Nasib baik Abang Ammar tu kenal Dino. Kalau tidak, tak pasal-pasal angah tidur lokap malam ni!”
Langkah Eyma tiba-tiba terhenti. Dia memandang wajah Dino tajam. Kata-kata adiknya tadi mengundang debar di hati.
“Cuba ulang balik apa kau cakap tadi?” Dia   berdiri tegak memandang Dino.
“Kenapa angah lari tinggalkan kafe tu macam tu aje?”
“Bukan yang itu. Ulang balik ayat yang selepas itu.” Matanya mula mencerlung merenung Dino.
Menyedari yang dia sudah terlepas cakap, air muka Dino terus berubah. Kepalanya yang tidak gatal mula digaru. Eyma cukup faham memang itu yang akan dilakukan adiknya jika dia mula rasa bersalah.
“Err… angah tak bayar duit kopi?” beritahu   Dino sambil tersenyum kambing.
“Dino…” seru Eyma sedikit keras. Hatinya mula mengesyaki adiknya itu ada menyembunyikan sesuatu daripada dirinya. Dia yakin daripada cara Dino menyebut nama Ammar Izwan tadi, hubungan antara Dino dengan seniornya itu lebih daripada kenalan   biasa.
“Macam mana Dino kenal dia?”

Macam mana Dino kenal 'mimpi ngeri' Eyma?  Temui jawapannya dalam Antologi Cerpen Tentang Cinta...


Harga RM15 (untuk 300 pembeli terawal)
Hubungi saya atau pengedar aurorabookstore2@gmail.com

Friday, October 14, 2011

Cerpen : Tiada Untuknya (Antologi Cerpen Tentang Cinta)



Tiada Untuknya

I
DRA memerhatikan keadaan di dalam Kafe Merah yang sudah banyak berubah sejak kali  terakhir dia berada di situ. Dulu kafe ini kecil sahaja. Hanya ada lebih kurang 20 buah meja.  Pelayannya pun hanya lima orang termasuk dengan tuan punya kafe. Kini kafe itu sudah berubah wajah seratus peratus. Dalam tempoh tiga tahun dia tidak ke sini, Kafe Merah telah menjalani transformasi yang drastik. Ia bukan lagi sebuah kafe kecil. Perabotnya juga sudah nampak eksklusif. Malah ada sebuah ruang yang menempatkan beberapa alatan muzik   disediakan di dalam kafe itu.
Dalam hati, Idra kagum dengan apa yang dilihatnya. Nyata angan-angan pemilik kafe ini sudah menjadi kenyataan. Rasa bangga terselit dalam hati kecil Idra walaupun dia sedar dia tidak layak untuk berperasaan begitu. Semua ini adalah hasil penat lelah lelaki itu sendirian. Dia tidak menyumbang apa-apa sebaliknya kehadirannya dahulu hanya membawa   derita dalam hidup lelaki itu.
Idra menyedut straw air tembikai di atas meja. Matanya terus ralit memandang ke segenap pelosok kafe itu sehinggalah dia ternampak kelibat seorang wanita muda berjalan mendekatinya. Segera dia     melarikan pandangannya daripada wanita itu.
“Err… ini Nurul Idra ke?” tegur wanita muda itu. Idra menoleh ke hadapannya. Perasaannya sedikit tersentak namun dia berpura-pura tenang. Dia berpura-pura mengamati wajah wanita yang  menyapanya dalam-dalam.
“Idra, kan?” tanya wanita itu lagi.
“Ya, saya. Maaf, cik ni…”
Wanita muda itu mencebik. “Kau tak ingat aku ke? Aku Kamalialah!”
Idra menggigit bibir, sesuatu yang selalu dilakukannya jika dia sedang berfikir. Sengaja dia berbuat begitu kerana dia yakin wanita di hadapannya ini bijak membaca bahasa tubuhnya.
“Sampainya hati kau. Mentang-mentanglah dah jadi orang London. Kawan dekat Malaysia langsung kau tak ingat, kan?” ujar wanita itu lagi apabila melihat dahi Idra berkerut-kerut memandangnya.
Melihat wanita itu seakan-akan berjauh hati, Idra mula tidak sedap hati. Tapi ditahannya hatinya daripada mudah mengalah. Dia perlu meneruskan  lakonan ini. Dia berpura-pura sedang berfikir sedangkan hakikat sebenarnya wanita ini tidak pernah       padam daripada ingatannya.
Raut wajah wanita yang hitam manis itu  direnung lama. Tahi lalat yang terletak di bawah mata wanita itu menarik perhatiannya. Perlahan-lahan bayangan seorang gadis tomboi bertahi lalat di bawah mata ketika zaman persekolahannya mula muncul  dalam fikiran.
Rambut panjang wanita itu dibayangkan  pendek tercacak-cacak. Wajah yang bersalut mekap itu dibayangkan berminyak. Baju kurung Johor yang tersarung di badan wanita itu digantikan dengan seluar pendek tiga suku dan jersi bola sepak pasukan Manchester United. Idra menarik nafas pantas.    “Kama?”
Kamalia tersenyum tawar sebaik-baik sahaja nama itu muncul daripada celah bibir Idra. “Ingat pun! Aku ingat dah lupa.”
Masakan aku boleh lupa sahabat sendiri, Kama, ujarnya dalam hati. Tapi mulutnya pantas melantunkan skrip yang sudah sedia dihafal sejak seminggu lalu. “Ya Allah, Kama. Kau dah berubah langsung.  Dulu kau tak ayu macam ni. Sebab itu aku susah nak ingat. Maaf ya?”
Kamalia tersenyum sinis. Tanpa dipelawa, dia terus duduk di kerusi bertentangan dengan Idra. “Tak ingat atau sengaja tak nak ingat? Lagipun dah tiga  tahun kut. Mestilah aku kena berubah. Takkanlah aku nak terus macam dulu lagi. Kalau aku masih macam dulu, alamatnya larilah suami aku tu.”
Mata Idra membulat merenung Kamalia.  Reaksi terkejutnya sengaja dibuat-buat demi       meyakinkan Kamalia yang berita yang baru             diterimanya itu baru didengarinya sedangkan sejak awal lagi berita gadis tomboi yang sangat anti dengan lelaki suatu masa dahulu sudah berkahwin sudah    diketahuinya.
“Dah, tak perlu nak buat muka terkejut tu. Dah setahun aku kahwin dah pun. Takkanlah tak ada siapa-siapa pun sampaikan pada kau atau keluarga kau?” perli Kamalia. Suaranya kedengaran sangat dingin.
Idra tersenyum pahit. Hatinya sedikit pedih. Walaupun dia sudah membayangkan akan menerima layanan dingin begini, tetapi apa yang dirasakan      sekarang jauh lebih sakit daripada yang dibayangkan.
“Tahniah, Kama. Aku tumpang gembira tengok kau bahagia,” ucap Idra ikhlas.
“Tak perlu nak berpura-puralah, Idra. Dengan orang lain, bolehlah kau nak berlakon baik tapi    dengan aku, tak payahlah. Aku tahu sangat warna hati kau yang sebenarnya tu. Kenapa kau balik ke sini, hah? Tak cukup lagi ke dengan apa yang kau dah buat?” bentak Kamalia.
Idra terpinga-pinga melihat perubahan sikap Kamalia. Dahulu gadis ini tidak sekasar ini. Walaupun Kamalia bersikap seperti tomboi suatu masa dahulu, namun gadis itu tidak pernah bercakap kasar        dengannya. Ya Allah, akukah punca dia berubah   sampai begini rupa? Perasaan bersalah yang bersarang dalam hati Idra semakin bertambah. Maafkan aku, Kama andainya aku punca kau menjadi begini,       pintanya dalam hati.
“Kau tak sepatutnya ke sini, Idra. You are not welcome here!” Nada suara Kamalia yang penuh  dengan kebencian itu menambahkan pilu di hati Idra. Namun dia perlu berlagak kuat. Dia perlu meneruskan lakonannya. Dia perlukan kebencian Kamalia kerana kebencian itulah yang memberikan dia kekuatan untuk meneruskan semua ini.
Idra meneruskan lakonannya. Dia berpura-pura berang. “Apa masalah kau ni, Kama? Salah ke aku ke sini? Ini tempat awam, kan? Setahu aku, tak ada pula terpampang perkataan ‘Idra dilarang masuk’ pada  pintu masuk tadi,” tukas Idra.
Kamalia mengeluh kuat. Baru sahaja dia mahu membuka mulut membalas kata-kata Idra, tiba-tiba matanya membulat memandang sesuatu di belakang Idra. Air mukanya tiba-tiba bertukar kelat. Pantas dia bangun daripada kerusi lalu berdiri di sisi Idra.  Matanya masih memandang ke arah belakang Idra. “Kau ni mesti tak tahu, kan?” soal Kamalia perlahan.
“Tahu apa?” soal Idra. Dia ingin bangun sama namun tangan Kamalia pantas memegang bahunya, menahan Idra daripada bangun. “Apa ni, Kama?  Sakitlah!”
“Kau tak sepatutnya ke sini, Idra,” ucap Kamalia.
Idra merengus kuat. “Ya Allahwhat is wrong with you, Kamalia? You know what, if you hate me that much, I’ll leave, allright? Just get your hands off of me!” bentak Idra seraya menepis kuat tangan    Kamalia. Kamalia yang tidak menjangkakan tindakan Idra terdorong sedikit ke hadapan.
Peluang itu diambil oleh Idra untuk bangun  daripada kerusi. Dia berpusing ke arah belakang   Kamalia yang dilihat sedang bercakap dengan seorang lelaki. Jantungnya kembali berdegup pantas. Dia tahu siapa lelaki itu. Ya Allah, inilah masa dan  ketikanya....

Cerpen penuh boleh dibaca di dalam Antologi Cerpen Tentang Cinta...


Harga RM15 (untuk 300 pembeli terawal)
Hubungi saya atau pengedar aurorabookstore2@gmail.com

Wednesday, October 12, 2011

Akan Datang 1 November 2011 - Antologi Cerpen Tentang Cinta


ANTOLOGI CERPEN: TENTANG CINTA
Terbitan ACE
ISBN 978-967-10077-1-6
Price: RM18 (INCLUSIVE OF POSTAL CHARGES)
Harga bagi 300 penempah awal: RM15 (INCLUSIVE OF POSTAL CHARGES)



Ini baby ke-2 saya selepas The Untold Story. Sebuah antologi cerpen yang mengandungi 19 buah cerpen bertemakan cinta dari 9 penulis. Menghasilkan antologi ini sangat berat bagi saya sebenarnya. Walaupun hanya perlu submit 2 buah cerpen kepada pihak penerbit, tapi yang 2 itulah yang membuatkan saya tak lena tidur. Sesungguhnya menghasilkan sebuah cerpen adalah lebih susah daripada membuat sebuah novel! Sewaktu menulis The Untold Story dan e-novel saya yang lain, saya tidak stress sangat berbanding menghasilkan 2 buah cerpen untuk antologi ini. Lebih-lebih lagi penulis yang terlibat sudah diberi tema untuk cerpen-cerpen yang dihasilkan. CINTA. Tema yang nampak mudah tapi bagi orang yang tak biasa menulis genre ini seperti saya, ia sangat mencabar. Namun berkat sokongan kawan-kawan, akhirnya terhasillah cerpen-cerpen yang dimuatkan di dalam antologi ini iaitu cerpen P/S: Suka Awak Juga; yang akan memperkenalkan anda semua dengan Ammar Izwan dan Eyma dan cerpen Tiada Untuknya yang akan memperkenalkan anda dengan Idra, Kamalia dan Mikhail.
Harapan saya anda akan terhibur dengan cerpen-cerpen yang ada di dalam antologi ini. 19 buah cerpen dari 9 orang penulis yang memberi intepretasi  tentang cinta yang mengikut rasa masing-masing. 

Novel antologi ini akan mula dijual secara ONLINE pada 1.11.2011. Siapa yang berminat, boleh hubungi penerbitnya, Aurora Creative Enterprise di alamat email berikut: e-mel: aurorabookstore2@gmail.com . Kalau nak beli melalui saya pun boleh juga. Email sahaja di farahusain@gmail.com/farahusain@yahoo.com. Siapa yang menempah sekarang akan mendapat diskaun. Harga yang diberikan termasuk harga pos berdaftar tau! :)