All About Tell a Tale

simply the best!

Shout Out

Nantikan kemunculan Ilham dan Is tak lama je lagi... ♥ love you all! ♥

FH

Friday, March 4, 2011

Teaser : The Untold Story Bab 16

Selamat datang ke dunia kami...

Shaq berdiri di belakang Diaz sambil menekan kuat luka di bahu Shifters itu. Semakin kuat Diaz menjerit, semakin dalam jari-jemarinya ditekan ke luka yang sudah kembali berdarah itu. Sebelah tangannya memegang sebilah pisau belati tajam yang diletakkan ke leher Diaz.

“Cakap, di mana Wirna?” Soal Shaq kasar.

Diaz tidak menjawab sebaliknya dia mecebik dan memandang Shaq dengan pandangan sinis. Berang dengan kebisuan Diaz, Shaq menekan lebih kuat lagi luka dia bahu Diaz hingga jari-jemarinya dapat merasai tulang bahu Diaz. Diaz mengerang kuat.

“Cakap! Mana perempuan jahanam tu?” Pisau belati di tangannya ditekan ke arah urat Diaz yang mulai timbul.

“Perempuan jahanam?” Diaz ketawa besar. “Masa kau sibuk mengejar dia dulu, kau tak anggap dia jahanam pula, ya?” Sindir Diaz. Sengaja memarakkan lagi api kemarahan Shaq.

“Kurang ajar!” Bentak Shaq. Sebiji penumbuk dihadiahkan ke muka Diaz yang menyeringai ke arahnya. Tumbukan yang kuat itu membuatkan kerusi Diaz terbalik hingga membuatkan dia jatuh ke belakang.

Shaq terus memijak perut Diaz seraya membongkok dan menyuakan pisau belati itu ke leher Diaz.

“Cakap dengan aku binatang, di mana perempuan tu?”

Jawapan Diaz hanya ketawa yang panjang diselang selikan dengan erangan kerana kesakitan yang dialaminya.

Shaq sudah hilang sabar. Diaz benar-benar mencabar kesabarannya. Pisau di tangan dicampak ke tepi. Kolar baju Diaz direngut kasar. Tumbukan demi tumbukan menjadi habuan wajah Diaz yang mulai membengkak. Bila Shifters itu sudah mulai layu, kepala Shifters itu dihentak ke lantai. Shaq bergerak menuju ke arah pedang-pedang pelbagai saiz dan rupa yang tergantung di dinding. Sebilah pedang panjang warisan keluarga ibunya dari Rome dicapai lalu dibawa menghampiri Diaz. Sekali lagi kolar baju Diaz direngut. Pedang panjang itu diangkat tinggi.

“Mampus kau, binatang!”

“Shaq, tunggu!”

Tubuh Shaq tercampak ke tepi. Api kemarahannya makin meruap-ruap. Aidan yang menolak tubuhnya tadi ditenung tajam. Lelaki itu berdiri di hadapannya dengan sebelah tangannya diletakkan ke dada Shaq bagi menghalangnya dari maju ke depan.

“Ke tepi, Aidan. Biar aku bunuh binantang tu!” Shaq menjerit.

“Tidak! Kita perlukan dia hidup-hidup.”

“Apa? Kau dah gila? Dia seorang Shifters. Dia patut mati!”

Aidan mengangguk perlahan. “Ya. Dia memang patut mati. Percayalah. Aku pun nak dia mati. Tapi bukan hari ini. Kita perlukan dia. Bila kita dah dapat apa yang kita hendak nanti, kau boleh buat apa sahaja yang kau nak buat dengan dia, ok?” Pujuk Aidan.

“Tidak! Dia perlu mati hari ini. Aku tak peduli apa alasan kau. Yang aku tahu, binatang ni perlu mati hari ini!” Bentak Shaqir. Dia cuba menepis tangan Aidan tetapi lelaki itu masih juga tidak mahu berganjak. Dia memandang ke arah Darius, Nael, Que dan Kazzar, mengharapkan sokongan dari mereka. Bila melihat tiada tanda-tanda dia akan menerima bantuan, Shaqir mendengus kuat.

“Kau sanggup halang aku demi binatang ni?”

“Binatang?” Diaz tiba-tiba menyampuk. “Kalau aku binatang, kau tu pula apa? Jangan lupa Shaq, kau pun sebahagian dari kami,” ujar Diaz sambil ketawa lemah.

“Diamlah! Dah nak mampus pun nak tunjuk pandai lagi,” marah Nael. Tubuh Diaz yang jatuh terlentang dengan kerusi tadi diangkat lalu didudukkan.

Bagaikan disimbah dengan sebaldi air sejuk, darjah kemarahan Shaq turun mendadak. Mendengar Diaz menyamakan kedudukan mereka membuatkan semangatnya terbang entah ke mana. Dia mengamati Diaz yang berlumuran dengan darah. Gigi taring Shifters itu yang keluar memanjang jelas kelihatan dari celah-celah giginya. Memang sudah menjadi kebiasaan spesis itu untuk kekal dalam bentuk Shifters jika mereka sedang lemah atau berada dalam keadaan marah. Dan perkara yang sama juga sedang dialami Shaq tanpa disedarinya. Shaq menarik nafas dalam-dalam. Perlahan gigi taringnya yang memanjang tadi masuk ke dalam dan kembali menjadi gigi normal.

Tidak. Dia tidak sama seperti Diaz. Dia bukan binatang. Dia tidak memilih untuk menjadi seperti sekarang. Dia dipaksa! Nafi Shaq di dalam hati.

Benarkah? Tapi bukankah kau miliki fizikal yang serupa dengan dia? Bukankah hidup kau juga bergantung kepada makanan yang serupa? Bukankah ada masanya kau juga hampir mengikut godaan nafsu kau? Bisikan-bisikan jahat yang sering muncul dalam hatinya kembali untuk menganggu.

Shaq mengeleng laju. Cuba untuk menyahkan bisikan-bisikan itu. Pedang panjang di tangan segera dilepaskan ke bawah. Bunyi kuat besi bertemu simen bergema di ruang bawah tanah itu. Dia perlu berada jauh dari situ atau kewarasannya akan hilang.

Rasa malu yang dirasai membuatkan Shaq tidak memandang ke arah rakan-rakannya. Pandangannya hanya dihalakan ke arah Diaz. Wajah Diaz direnung tanpa perasaan. “Apa pun rancangan kau, lakukannya segera Aidan. Aku tak pasti berapa lama aku mampu bersabar.” Shaq bergerak meninggalkan mereka.

“Shaq?” Panggil Aidan.

Langkah lelaki itu terhenti. Tanpa menoleh, dia menanti bicara Aidan seterusnya.

“Kau bukan seperti dia, sahabat.” Ujar Aidan perlahan.

Shaq tersenyum sinis. “Benarkah?” Soal Shaq mendatar. Lima tahun dahulu mungkin aku bukan seperti dia, Aidan tetapi keputusan yang dibuat kalian telah mengubah segala-galanya. Namun kata-kata itu hanya diucapkan dalam hati. Tidak tergamak dia menambahkan lagi perasaan bersalah di dalam diri sahabat-sahabatnya itu.

Shaq meneruskan langkahnya. Tangga kayu menghala ke pintu keluar di daki dengan perasaan sebal. Beberapa anak tangga sebelum sampai ke pintu, dia berhenti. Kelibat seorang gadis yang sedang duduk di anak tangga dengan wajah pucat dan terpinga-pinga menyapa pandangannya. Shaq cam gadis ini adalah mangsa Diaz yang di bawa pulang oleh Aidan dan sahabat-sahabatnya tadi.

Diaz tunduk dan mendekatkan wajahnya ke muka gadis itu yang jelas ketakutan. “Selamat datang ke dunia kami, gadis kecil.” Ucap Shaq dengan nada sinikal lalu pergi meninggalkan Aira.

***********************************************************************
Ini adalah bab terakhir The Untold Story yang akan tersiar di blog. Novel ini akan menemui pembaca pada bulan April 2011. Terima kasih kepada pengikut setia kisah ini. Jangan lupa dapatkannya untuk mengetahu kesudahan kisah Aira bersama Night Crawlers ini, ya. Love you all....



Akan Datang April 2011


Genre: Fantasi

Sinopsis:
Pertemuannya dengan Diaz, lelaki kacak yang mempesonakan telah mengheret Teja Aira ke sebuah dunia gelap yang tidak pernah disedari kewujudannya. Di dunia itu, Aira mengenali Night Crawlers yang dingin, Shifters yang menakutkan dan Custos yang menyenangkan.
Siapakah mereka? Mengapakah kehadiran mereka perlu dirahsiakan? Dan mengapakah Aira turut terheret dalam pertelingkahan yang sudah berlanjutan selama beratus tahun ini?

0 comments: