All About Tell a Tale

simply the best!

Shout Out

Nantikan kemunculan Ilham dan Is tak lama je lagi... ♥ love you all! ♥

FH

Friday, October 21, 2011

Cerpen: P/S: Suka Awak Juga (Antologi Cerpen Tentang Cinta)



P/S: Suka Awak Juga…

Aberdeen, Scotland...

“B
RRR...” Eyma menggigil kesejukan. Snow cap di kepala dicabut lalu dikibas-kibas salji yang memutih di atas topi. Rambutnya yang terlerai ikatannya dibetulkan. Matanya kemudian melilau mencari wajah orang yang sepatutnya ditemui. Dia pandang satu per satu mereka yang berada di dalam kafe itu. Yang duduk di hujung sebelah kanan, terlalu putih kulitnya macam salji di luar. Yang duduk di hujung sebelah kiri terlalu gelap kulitnya macam arang terbakar. Yang duduk berhampiran dengan tempat dia berdiri campuran  putih dan hitam. Semuanya tidak sama kulit   dengannya. Eyma mengeluh berat. Memang sah orang yang dicari tidak sampai lagi.
Dia menarik muffler scarf daripada lehernya. Baju sejuk paras lutut warna hitam yang tersarung pada badan ditanggalkan lalu disangkut ke lengan. Dia berjalan menuju ke sebuah meja yang tidak berpenghuni. Tidak sampai seminit punggungnya mencecah kerusi, seorang lelaki separuh umur lengkap memakai apron menghampirinya.
What can I get for you, love?” tanya lelaki itu dengan loghat Scottishnya yang menebal. Nasib   baiklah dia pernah belajar di Edinburgh dua tahun yang lalu. Sedikit sebanyak dia dapat memahami  loghat lelaki Scotland di depannya.
Black coffee please,” balas Eyma seraya tersenyum.
Anything else, love?”
Eyma menggeleng sopan. Tiba-tiba dia terdengar loceng yang tergantung di pintu masuk berbunyi. Dia segera berpusing untuk melihat siapa yang melangkah masuk. Dalam hati berdoa agar wajah adiknya, Dino yang muncul. Eyma mengeluh hampa apabila melihat seorang lelaki tempatan yang melangkah masuk. Dia mengerling ke arah jam di tangannya. Sudah hampir pukul 12.55 tengah hari. Janji temunya bersama adiknya sepatutnya pukul 12.45 tadi. Sekarang sudah hampir 10 minit berlalu namun bayang adiknya tidak juga kelihatan.
Eyma mencapai begnya lalu dikeluarkan  telefon bimbitnya. Nombor telefon Dino didail pantas. “Dino, kau dekat mana ni? Angah dah sampai kafelah!”
“Kut ya pun, bagilah salam dulu, angah. Ini main sergah saja.”
Eyma berdesit. “Jangan nak loyar buruk dengan angah ya. Kau janji macam mana ni? Kau tahu kan, angah tak suka kerja tunggu-menunggu ni!”
Di hujung talian, Dino ketawa mengekek. “Maaf, angahku sayang. Dino terkandas di  perpustakaan ni. Salji tengah lebat, tak boleh nak keluar.”
“Ada sajalah alasan kau. Lain kali kalau dah   tahu berjanji, keluar awal-awal. Sekarang apa yang angah nak buat dekat kafe ini seorang diri? Salji lebat di luar itu. Entah pukul berapa redanya. Kalau angah tahu macam ni, baik angah duduk di bilik saja!”
“Alah, duduk sajalah di kafe tu. Ambil mood. Perhatikan orang dan suasana di situ. Mana tahu, angah dapat ilham nak buat buku baru angah. Dino janji, Dino akan cuba sampai di sana secepat mungkin. Kalau salji tak reda juga, Dino redah saja. Demi angah tersayang. Okey, angah? Bye…” Pantas adiknya  mematikan talian tanpa sempat Eyma bercakap.
Eyma terus merungut seorang diri. “Banyaklah kau punya ilham. Keadaan sejuk kejung macam ni, jangan katakan ilham, idea pun tak ingin nak muncul!”
Tiba-tiba secawan kopi panas diletakkan di atas meja di depannya. “Secawan kopi untuk cik adik.”
Tanpa mengangkat kepala, selamba Eyma menjawab, “Terima kasih.” Tiba-tiba dia berasa pelik. Mukanya berkerut-kerut mendengarkan bahasa  Melayu dituturkan di dalam kafe milik bangsa asing itu. Erk? Kejap, aku sekarang dekat Aberdeen ke,  dekat Malaysia ni? Dia terus mendongak memandang orang yang berdiri di sebelahnya. Matanya membulat merenung wajah lelaki yang sedang tersenyum manis ke arahnya. Jantungnya berdebar kencang. Wajah  putih bersih itu menawan kalbunya. Senyuman daripada bibir merah yang mengoda itu memaut hatinya. Namun sekelip mata sahaja darahnya tiba-tiba berderau. Oh, tidak! Mimpi negeri aku. “Ammar Izwan?”


AMMAR IZWAN. Sudah hampir tujuh tahun nama itu tidak meniti di bibirnya. Kali terakhir mereka bertemu ialah pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar  Cemerlang di sekolah menengah mereka. Waktu itu, Eyma masih lagi di tingkatan empat manakala  Ammar pula sudah menamatkan zaman per-sekolahannya di SMKIH. Saat kenangan pada majlis malam itu muncul dalam benaknya, wajah Eyma tiba-tiba terasa panas. Dia menekup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangannya yang sejuk.
“Arghhh, malunya!” jerit Eyma kuat sambil menghempaskan badannya ke atas katil.
“Kenapalah aku kena jumpa dia dekat sini?”   tanyanya seorang diri. Tangannya diangkat daripada muka. Matanya terkebil-kebil memandang siling bilik yang berwarna hijau lembut. “Agaknya dia ingat lagi ke pada aku? Mungkin tak ingat kut. Dah tujuh tahun tak jumpa. Lagipun aku bukan macam dulu lagi. Tak mungkin dia ingatlah!” ujarnya seorang diri.
“Tapi kalau tengok daripada gaya dia tadi,    macam dia ingat aje dengan aku. Kalau dia ingat,   habislah aku! Arghhh… tidak!” teriaknya sekali lagi. Dia bingkas bangun daripada katil dan mula berjalan mundar-mandir di dalam bilik. Eyma mula tidak senang hati. Bilik yang dingin itu terasa panas tiba-tiba. Sedang dia asyik berjalan ke hulu ke hilir, pintu biliknya diketuk dari luar. Eyma bergerak ke arah  pintu lalu melihat siapa di luar melalui peep hole di pintu. Melihat wajah adiknya di depan pintu, dia segera membuka daun pintu.
“Angah, kenapa angah lari tinggalkan kafe tu?” tanya Dino sebaik-baik sahaja kakinya melangkah  masuk ke dalam.
Eyma tidak mengendahkan pertanyaan Dino. Dia kembali menjalankan aktiviti mundar-mandirnya tadi.
“Angah, kan Dino tanya ni, kenapa angah lari tinggalkan kafe tu tiba-tiba?” soal Dino sekali lagi. “Angah tahu tak, angah tak bayar duit kopi tadi? Nasib baik Abang Ammar tu kenal Dino. Kalau tidak, tak pasal-pasal angah tidur lokap malam ni!”
Langkah Eyma tiba-tiba terhenti. Dia memandang wajah Dino tajam. Kata-kata adiknya tadi mengundang debar di hati.
“Cuba ulang balik apa kau cakap tadi?” Dia   berdiri tegak memandang Dino.
“Kenapa angah lari tinggalkan kafe tu macam tu aje?”
“Bukan yang itu. Ulang balik ayat yang selepas itu.” Matanya mula mencerlung merenung Dino.
Menyedari yang dia sudah terlepas cakap, air muka Dino terus berubah. Kepalanya yang tidak gatal mula digaru. Eyma cukup faham memang itu yang akan dilakukan adiknya jika dia mula rasa bersalah.
“Err… angah tak bayar duit kopi?” beritahu   Dino sambil tersenyum kambing.
“Dino…” seru Eyma sedikit keras. Hatinya mula mengesyaki adiknya itu ada menyembunyikan sesuatu daripada dirinya. Dia yakin daripada cara Dino menyebut nama Ammar Izwan tadi, hubungan antara Dino dengan seniornya itu lebih daripada kenalan   biasa.
“Macam mana Dino kenal dia?”

Macam mana Dino kenal 'mimpi ngeri' Eyma?  Temui jawapannya dalam Antologi Cerpen Tentang Cinta...


Harga RM15 (untuk 300 pembeli terawal)
Hubungi saya atau pengedar aurorabookstore2@gmail.com

0 comments: